Seni
kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama seni khat, merupakan
khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam dan
dikagumi di seluruh pelusuk dunia. Selain penyampai mesej dakwah, khat
juga merupakan jalan untuk merehat dan menajamkan minda, di samping sebagai jalan untuk mendapat rezeki.
Sungguhpun begitu, terdapat banyak lagi faedah sehingga pernah dinyatakan oleh seniman arab bahawa khat sebagai sebuah
abstraksi, ilmi, falsafi dan seni.Memandangkan tulisan-tulisan sebelum
kemunculan khat Arab kebanyakannya dalam bentuk segi dan berpetak,
sudah tentu khat Arab yang pertama terwaris adalah dari jenis keturunan yang serupa. Oleh itu, khat Arab dalam bentuk pertamanya adalah dari jenis Khat Kuufi Klasik dan Khat Hijaazi.
Sebelum
kedatangan Islam, dunia penulisan Arab tidaklah serancak dengan zaman
selepasnya kerana ia hanya tertumpu pada keadaan-keadaan tertentu
sahaja. Khat kaum Nibti yang diwarisi oleh orang Arab hanya dipecah
kepada dua bentuk sahaja iaitu Khat Kuufi dan Khat Jazm (Khat Hijaazi).
Setelah datangnya Islam, tabiat Islam itu sendiri yang sememangnya
mengajak manusia kepada cintakan ilmu pengetahuan
ditambah pula aktiviti pencatatan Wahyu Ilahi pada masa hayat Baginda
S.A.W. telah menyemarakkan perkembangan khat Arab. Daripada khat Kuufi
dan Hijaazi, ia terpecah kepada beberapa bentuk,antaranya Kuufi Masyaq,
Kuufi Madani, Kuufi Basiit, khat Hijaazi Daarij dan khat Makki Madani.
Pada
zaman itu, kesemua jenis khat yang ada mempunyai ciri-ciri antaranya
tidak bertitik, tidak berbaris dan penyusunan yang tidak teratur.Pada
zaman Khulafa Al-Rasyidin, khat Arab telah diperkembangkan kepada
pelbagai bentuk dalam rumpun Kuufi seperti Kuufi Klasik, Shaami, Basri,
Al-Asfaraaani, Al-Mash'ab, Al-Samni, Al-Qairamuuz dan lain-lain.Khat
pada zaman ini lebih teratur walaupun tanpa bertitik dan
berbaris.Apabila Saidina Uthman R.A. mengisytiharkan pembukuan Al-Quran,
baginda memperkemas tanda dan perundangan dalam al-Quran yang dikenali
sebagai Mushaf Uthmani. Dalam seni mushaf al-Quran, tulisan
khat penting kerana merakamkan segala ayat Tuhan. Kegagalan menyalin
al-Quran dengan khat yang baik, jelas, dan tepat bermakna tidak
kesampaianlah maksud al-Quran dalam erti kata yang luas.
Bentuk
tulisan khat ketika itu adalah khat Kuufi Klasik yang tidak bersambung
dan mungkin sukar dibaca pada hari ini. Mengikut sejarah, penulisan khat
ini dihasilkan di Kufah, Iraq pada kurun ketujuh, hasil ilham mimpi
seorang sufi. Ia dinamakan
Kuufi, iaitu tulisan yang tidak bercantum dan dinamakan sedemikian
sebagai tanda penghargaan kepada bandar Kufah.Gaya khat Kuufi digunakan
selama lebih kurang tiga abad. Ketika ini, yang menguasai seni dalam
Al-Quran adalah kekuatan khatnya dan tidak pada hiasan yang terdapat
pada jidar kepala sesuatu lembaran berhias. Lebih kurang pada kurun ke-4
Hijrah, khat Kuufi beransur-ansur digantikan oleh khat Naskh hingga
kini. Khat Naskh melahirkan pelbagai gaya tulisan dengan diberi nama
yang berlainan. Hal ini tidak pula bermakna bentuk seni khat lain tidak
digunakan untuk menyalin ayat al-Quran. Seni khat yang lain seperti
Thuluth, Muhaqqa, dan Rayhani digunakan pada tajuk surah sahaja. Kini,
khat Naskh diterima sebagai bentuk tulisan baku dalam menyalin al-Quran.
Zaman
kerajaan Umawiyah telah menyaksikan pembangunan ketara seni khat Arab,
antaranya kemunculan dua bentuk khat yang baru selepas Kuufi iaitu Khat
Thuluth dan Khat Nasakh. Selain Khat Thuluth, terdapat khat-khat yang
lain yang seakan-akan
mirip dengan Khat Thuluth seperti Khat Toomar, Tauqi', Muhaqqaq,
Thuluthain, Jalil, Musalsal dan sebagainya. Khat Nasakh pula muncul dari
cabangan Khat Daarij semasa zaman permulaan Islam. Pada abad ini, seni
khat menyaksikan banyak perubahan antaranya ialah peletakan sistem titik
dan baris di samping kemunculan ramai pakar-pakar penulis khat,
antaranya Imam Hasan al-Basri, Malik bin Dinar dan Ibnu Hasan
al-Maliih.Tulisan khat terus berkembang pada zaman Kerajaan Abbasiyah,
Fatimiyah dan Uthmaniyah. Sebagaimana ketiga-tiga zaman ini terkenal
sebagai zaman kegemilangan peningkatan taraf ilmu, begitu juga berlaku
kepada dunia Khat Arab. Dikatakan lebih daripada 50 cabangan Khat yang terhasil pada zaman ini yang dikembangkan melalui bentuk-bentuk yang lama.
Antara
bentuk baru yang muncul ialah Khaat Ta'liq dan Nasta'liq, Nasakh Badi',
pelbagai cabangan Kuufi dan sebagainya. Pada kurun ke-10, seni khat
tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni.
Tulisan ini terdiri daripada
beberapa jenis, iaitu khat Kuufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat
Thuluth dan Khat Riqa. Pada kurun ke-16 dan 17, seni khat pernah menjadi
medium komunikasi terpenting dalam menyampaikan mesej diplomatik. Ia
diperkenalkan oleh Housam Roumi semasa era Suleyman 1 di wilayah Turki.
Kesenian tulisan khat jenis ini
terserlah melalui tanda dan tulisan yang menarik. Seni khat yang
dikenali dengan nama Diwani ini berkembang seiring dengan variasinya
iaitu Diwani al-Jali yang berbingkai.
Mushaf-mushaf
Uthmani pada waktu itu muncul dengan pelbagai rupa bentuk khat
sementara penulis-penulis khat tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Di
antara ketiga-tiga zaman ini, zaman kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah
zaman yang paling ketara dalam peningkatan seni khat di mana ia telah
dieksploitkan sebagai bidang kesenian dan kecantikan selain daripada
penyampai maklumat. Setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah, warisan seni
khat yang kebanyakannya yang berpusat di Turki telah berpecah ke serata
Tanah Arab. Akhirnya, tahun demi tahun, benluk-bentuk khat yang banyak
tadi telah dihadkan kepada beberapa bentuk tertentu sahaja. Had ini
dibuat bagi menetapkan jenis-jenis khat yang kemas teratur, cantik dan
berseni untuk diguna pakai oleh masyarakat umum. Untuk itu, khat-khat
yang kekal hingga sekarang ialah khat Riq'ah, Diwani, Diwani Jaliy,
Ta'liq, Nasta'liq, Thuluth, Nasakh dan Kufi.
No comments:
Post a Comment